Cuti Jumaat dan Sabtu bagi negeri Johor

Berita terbaru adalah tentang pengumuman sultan Johor tentang pertukaran cuti mingguan untuk negeri Johor iaitu dari Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu.

Saya lihat ini satu perkembangan yang bagus. Jumaat adalah penghulu segala hari dalam Islam. Nabi Adam dicipta pada hari Jumaat. Datangnya kiamat juga pada hari Jumaat.

Apatah lagi Jumaat adalah hari untuk umat Islam berkumpul bagi muslimin menunaikan solat Jumaat. Kali ini tidaklah perlu tergesa-gesa dari pejabat untuk turun solat. Masa untuk rehat juga dapat dikurangkan.

Kalau dahulu rehat pada Jumaat bermula sekitar 12.00pm hingga 3pm. Masa ini agak lama. Susah nak berurusan. Kini dapatlah jimat masa berehat. Harap produktiviti staf kerajaan juga meningkat dengan penukaran hari cuti mingguan ini.

Untuk makluman, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah lama mengamalkan cuti pada Jumaat dan Sabtu.

Saya menyokong tindakan sultan Johor mengisytiharkan berita baik ini.

Penulis mula dengan sifat ingin tahu

Satu percubaan baharu saya mencipta blog khas untuk saya nukilkan penulisan berkualiti. Ini tergerak setelah saya mendapat permintaan daripada Luqman agar saya menjadikan wadah blog sebagai contoh kepada yang lain untuk ikut. Ok Man, I show you~

Apabila menulis, perkara penting adalah kita harus ada sifat ingin tahu. Jika tidak, penulisan kita akan lebih kepada penulisan entah apa-apa.

Ini jelas terlihat apabila saya menulis tanpa sebarang sebab menyebabkan penulisan saya entah ke mana. Saya tak faham, pembaca pun tak faham.

Uthaya Shankar, seorang penulis, dan saya pernah pergi ke bengkel penulisannya, mengatakan bahawa dia menulis bermula dengan perasaan ingin tahu. Dia ibaratkan dirinya sebagai sebuah gelas kosong yang tak sabar menantikan pengisian air.

Ramai saya lihat ingin tahu tentang sesuatu perkara tetapi sifat ingin tahu mereka hanya senipis kulit bawang. Sekadar ingin tahu. Perkara ini sebenarnya tak cukup untuk membawa sebuah penulisan itu kepada penulisan mantap.

Daripada sifat ingin tahu, kita akan mencipta satu formula rahsia di mana bukan semua orang dapat mempraktikkan formula ini. Satu perkara harus diketahui formula rahsia ini diamalkan oleh semua penulis-penulis berjaya seperti Hamka, Zaaba, S.M Zakir dan lain-lain.

Saya yakin anda semua sudah tahu formula rahsia ini tetapi anda hanya kurang mempraktikkannya dalam kehidupan. Anda hanya menganggap ia perkara biasa. Tetapi dek kerana anggapan anda yang begitu, menyebabkan formula ini menjadi rahsia. Heh.

Persoalan adalah kunci kepada ilmu. Itulah formula rahsianya. Kalau kata orang puteh dengan akronim 5 isteri (wife) 1 suami (husband) atau 5W 1H.

Apakah 5W dan 1H itu?

  1. What / Apa
  2. Why / Mengapa
  3. When / Bila
  4. Where / Di mana
  5. Who / Siapa
  6. How / Bagaimana

Daripada soalan-soalan ini, kita akan mencapai tahap ingin tahu yang, bagi saya tahap tinggi. Contohnya tentang Islam Liberal.

Apakah itu Islam liberal? Mengapa menggunakan nama Islam Liberal? Bila Islam liberal mula diperkenalkan? Di mana pusat Islam liberal? Siapa pengasas Islam liberal? Bagaimana Islam liberal memberi ancaman kepada Islam yang sebenar?

Dengan persoalan-persoalan yang muncul ini, kita jangan lepaskannya begitu sahaja di minda. Terus ambil kertas atau tulis terus di skrin komputer. Atau dengan kata lain buat nota.

Mungkin kita rasakan itu perkara amat susah, tetapi ketahuilah yang susah itu yang penting. Apabila menulis apa yang kita baru sahaja belajar, kita secara langsung memberitahu kepada minda kita bahawa maklumat yang baru sahaja kita dapat itu penting.

Jadi, amat penting bagi seorang penulis itu mempunyai sifat ingin tahu. Dengan itu barulah mudah menjana idea-idea baharu untuk disampaikan kepada pembaca. Seterusnya maklumat itu disimpan dalam bentuk penulisan nota. Jadikan ia bank idea untuk penulisan kita.

Apa kata anda pula? Hanya membaca sahaja dan membiarkan pengetahuan itu berlalu seperti air yang mengalir di sinki?